Oleh
Nurul'ain Kamarulzaman
Mahasiswa NTU
Berita Harian, Singapura
2nd June 2008
SOALAN sebegini memang tidak asing lagi bagi kumpulan The Lima yang baru sahaja melancarkan album pertama bertajuk The Lima.
'Kata lima, lagi dua mana?'
Malah, itulah yang dianggarkan oleh jejaka bertiga ini tatkala memilih nama tersebut.
'Kami memilih 'lima' dan bukan 'tiga' supaya orang menjadi hairan lalu bertanya,' jelas Arif dengan tersenyum. Malah, nama yang menarik ini juga pernah menyebabkan mereka mendapat jolokan nama 'buah delima' dan 'batu delima' sewaktu melibatkan diri dalam rancangan realiti TV3, Gangstarz.
Mereka bersikap optimistik dan menganggap semua komen yang diberi sebagai pembakar semangat sehinggalah mereka menjuarai pertandingan vokal yang menyatukan bakat-bakat dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
'Apabila mendengar jolokan-jolokan tersebut kami hanya berazam dan bekerja keras untuk menjadi seindah batu delima dan mencapai kejayaan semanis buah delima,' tambah Taura.
Ternyata, boyband yang berasal dari Indonesia ini mempunyai pegangan hidup yang positif dan tidak pernah putus asa dalam mengejar impian mereka. Arif, Taura dan Bony pernah mencuba nasib di tanah air sendiri melalui sebuah rancangan realiti stesen televisyen TPI, Ajang Boyband, yang mencari pria berbakat dalam bidang nyanyian dan koreografi. Malangnya, mereka hanya berhasil untuk menjadi antara lima kumpulan terbaik waktu itu.
Walau bagaimanapun, setelah tewas dalam rancangan tersebut, The Lima tidak terus mati semangat apabila seorang teman bernama Diana, memberitahu mereka mengenai pertandingan yang menawarkan hadiah wang AS$100,000 ($136,660) serta kontrak rakaman di bawah naungan KRU Music Group itu.
Akhirnya mereka menjadi pesaing bagi teman mereka itu, yang juga merupakan anggota kumpulan Mendua dan turut beradu dalam Gangstarz.
'Kami sedar bahawa sukar untuk mendapat nama dalam industri muzik tanah air sendiri. Oleh itu, kami fikir apa salahnya kalau mencuba nasib di negeri orang dan mengharumkan nama bangsa sendiri?' kata Arif, mengimbas kembali.
Namun, bagaimana pula dengan Mendua?
'The Lima dan Mendua memang teman akrab dan kami telah membuat perjanjian sebelum pertandingan akhir bahawa pemenangnya harus memberi hadiah kepada kumpulan yang tewas. Akhirnya, kami yang harus memberi Mendua sedikit wang yang kami menangi kerana mereka berada di posisi kedua!' kata Bony yang disambut dengan deraian tawa teman-temannya.
Sememangnya The Lima merupakan kumpulan yang ceria dan suka bercanda. Malah, sesi temu bual bersama penulis selepas The Lima membuat persembahan menakjubkan di acara penutup tirai Kem Obor, minggu lalu, juga tidak sunyi daripada deraian tawa sebab mereka seringkali berjenaka.
Apabila ditanya mengenai pengalaman pahit manis mereka dalam pertandingan uji bakat Gangstarz, pelbagai kisah yang mencuit hati diungkapkan oleh mereka bertiga. Antaranya termasuk sewaktu mempromosikan rancangan tersebut dalam program Malaysia Hari Ini yang disiarkan secara langsung.
Tatkala mereka sedang bernyanyi, kabel mikrofon Bony terjatuh dan penerbit memberikan isyarat supaya jangan mengambil kabel tersebut.
'Kami teruskan juga dan cuba bernyanyi tetapi sukar untuk menahan diri daripada tertawa melihat gelagat Bony cuba berkongsi mikrofon bersama Arif!' kata Taura terbahak-bahak.
'Namun pengalaman yang mungkin paling pahit adalah sewaktu kami sedang bersiap-siap untuk membuat persembahan. Bukan sebab sukar berlatih tetapi sukar kerana kami terpaksa ikat perut dan menahan lapar demi mendapatkan kostum terbaik untuk persembahan,' tambah Bony.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kumpulan ini serius untuk memberikan yang terbaik demi mengejar bidang yang mereka minati ini.
BIODATA BONY/BOTEM
NAMA SEBENAR: Bony Adam
USIA: 27 tahun
MULA MINAT PADA MUZIK KETIKA...: Ayah mula mengajar Bony tampil di adubakat sewaktu sekolah rendah lagi tetapi Bony gementar. Hanya setelah ayah meninggal dunia, Bony mula menyanyi dengan menggunakan lagu berjudul 'Ayah' tetapi kali ini di tengah-tengah lagu itu, Bony menangis pula kerana terlalu sedih. Namun, Bony berjaya menjuarai pertandingan tersebut. (Bony pernah terlalu sedih akibat kematian ayahnya sehingga kerap pengsan di sekolah tetapi berpaling kepada muzik untuk meredakan stres)
IDOLA MUZIK DI INDONESIA: Glenn Fredly
IDOLA MUZIK ANTARABANGSA: Michael Bolton
GENRE MUZIK KEGEMARAN: Pop dan rok
TIDAK BOLEH HIDUP TANPA: Ibu, kain pelikat (kerana Bony akan mengerjakan solat di mana-mana ada kesempatan) dan baju tambahan (sebab Bony suka berpeluh)
TIDAK SUKA MENDEKATI: Tempat sepi, makanan laut (kerana alahan) dan permainan ngeri taman bertema seperti 'roller coaster' (kata Bony, 'Kalau mati naik 'roller coaster' tu, mati sia-sia namanya!')
NASIHAT UNTUK YANG NAK JADI PENYANYI: 'Cintakan kreativiti sendiri supaya anda jadi orang yang sukses!'
BIODATA ARIF
NAMA SEBENAR: Arif Topan Sanjaya
USIA: 22 TAHUN
MULA MEMINATI MUZIK KETIKA...: Di sekolah menengah
IDOLA MUZIK INDONESIA BAGI SAYA: Marcell dan Agnes Monica
IDOLA MUZIK BARAT: Beyonce dan Justin Timberlake
GENRE MUZIK KEGEMARAN: Pop dan dangdut
HOBI: Memasak dan menonton filem seperti 'Ayat-Ayat Cinta'
TIDAK BOLEH HIDUP TANPA...: Ibu bapa, kawan-kawan dan agama
TIDAK SUKA MENDEKATI: Kelab Malam (sebab Arif tidak suka kaki botol dan kaki rokok), budaya membazir dan alat hawa dingin
NASIHAT UNTUK YANG NAK JADI PENYANYI: Jangan takut untuk bermimpi selagi mimpi itu 'gratis' (percuma)
BIODATA TAURA
NAMA SEBENAR: C. Taufani Rahadian
USIA: 24 TAHUN
MULA MEMINATI MUZIK KETIKA...: Sering bersenandung sewaktu kecil dan menonton penyanyi hebat di televisyen
IDOLA DI INDONESIA: Harvey Malaiholo
IDOLA ANTARABANGSA: Michael Buble
GENRE MUZIK KEGEMARAN: Jazz, pop dan rok
HOBI: Memperaga fesyen
TIDAK BOLEH HIDUP TANPA...: Ibu bapa, telefon bimbit dan muzik
TIDAK SUKA MENDEKATI: Tempat sampah, ular dan lipas (sewaktu di dalam teksi dan terlihat lipas, Taura serta-merta naikkan kaki di atas tempat duduknya)
NASIHAT BAGI YANG NAK JADI PENYANYI: 'Teruskan berlatih seni dengan jujur kerana seni itu tidak mengenal apa pun, termasuk usia.'
my sweet escape @ 10:11 AM
SHOUT OUT
PREVIOUS POST
Buronan Cinta
Cicakman
The Lima, KRU Versi Baru oleh Haryati Karim
Murah Rezki sejak juarai GangStarz - Oleh Zaidi Mo...
the lima @ APM
the lima
duyung day 2
HANG IN THERE...PICTURES FOR THE SECOND DAY OF DUY...
duyung day 1
Hey people...We at KRU Singapore are collating pic...
HISTORY
March 2007
May 2007
August 2007
October 2007
January 2008
March 2008
April 2008
May 2008
June 2008
July 2008
It's all about glory.
Designer/Layout Phyllis
Brushes 1 2
Image host Imageshack